jom like facebook DOSM Penang

Friday 26 September 2014

Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) dan Kemudahan Asas 2014


Penyiasatan ini bermula Januari 2014 hingga Disember 2014 meliputi isi rumah yang tinggal di tempat kediaman (TK) persendirian yang melibatkan 83,456 isi rumah di seluruh negara.

Objektif
   Objektif utama penyiasatan ini adalah untuk mengumpul maklumat pola taburan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah,mengenal pasti golongan miskin dan mengenal pasti tahap kemudahan asas yang dinikmati oleh isi rumah di Malaysia.
Data pendapatan ini akan digunakan oleh Kerajaan sebagai input dalam pembentukan pelan pembangunan negara terutamanya bagi penyediaan Rancangan Malaysia ke-11. Manakala data perbelanjaan digunakan dalam pengiraan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merupakan proksi kepada pengukuran kadar inflasi Negara.
   Seiring dengan matlamat dan tujuan, data HIES ini amat penting kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam perancangan, pembangunan dan penggubalan dasar dan polisi Negara terutama dalam program pembasmian kemiskinan dan agihan pendapatan yang lebih menyeluruh.  Selain daripada itu, data HIES merupakan item asas dalam pembentukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan penentuan golongan miskin dan miskin tegar, seterusnya digunakan sebagai input kepada analisis taburan pendapatan dan perbelanjaan berkaitan dengan aktiviti ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.

Kaedah Pengumpulan Data
   Pengumpulan data yang dijalankan adalah dengan menggunakan kaedah temu ramah bersemuka.  Pegawai dan anggota Jabatan yang terlibat dalam penyiasatan ini diberikan latihan khusus sebagai penemu ramah. Mereka akan melawat isi rumah (IR) di TK terpilih bagi mengumpul maklumat berkaitan demografi, pendapatan, perbelanjaan dan kemudahan asas dengan menggunakan borang soal selidik berkenaan.

Terdapat 3 jenis borang soal selidik yang digunakan iaitu;
1.   Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014 (HIES)
2.   Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014 (HIS/KA)
3.   Rekod Perbelanjaan Harian Isi Rumah (HES-2)

Pelaksanaan Operasi Pungutan Data
   Untuk tempoh satu bulan, anggota isi rumah yang berusia 15 tahun dan ke atas dikehendaki merekodkan perbelanjaan harian dan biasa mereka dalam diari yang direka khas (HES-2).  Dalam tempoh satu bulan tersebut, pegawai-pegawai kerja luar akan melawat isi rumah terpilih untuk membantu dalam merekodkan perbelanjaan mereka.
   Penyiasatan ini meliputi isi rumah yang tinggal di tempat kediaman persendirian sahaja.  Isi rumah institusi iaitu individu yang tinggal di asrama, hotel, hospital, rumah orang tua, berek tentera dan polis, penjara, rumah kebajikan dan institusi lain adalah dikecualikan daripada liputan penyiasatan.
                         

Kerjasama Sepenuhnya Diharapkan
   Sehingga Mei 2014, kerjasama rakyat terhadap penyiasatan ini amatlah baik dengan penerimaan maklum balas adalah sebanyak 98.9% iaitu 34,673 daripada 35,076 isi rumah terpilih.  Jabatan Perangkaan Malaysia berharap isi rumah yang terpilih dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai-pegawai jabatan yang berkunjung ke TK responden yang terpilih.
   Maklumat yang dikumpul mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).
Seksyen 5 dibawah Akta ini menghendaki mana-mana responden di Malaysia untuk memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada Jabatan.  Mengikut Akta ini, kandungan soal selidik yang diterima adalah SULIT dan tidak boleh dihebahkan kepada sesiapa atau mana-mana institusi di luar Jabatan ini.

Berita Harian,12 Oktober 2014



No comments:

Post a Comment