jom like facebook DOSM Penang

Thursday, 23 March 2017

Zikir Pagi dan Petang..Manfaat & Kelebihan Penghulu Istighfar

Soalan ; Ajarkan raja segala istighfar, ayat mana ya Ustaz?

Jawapan ; Bukan ayat, itu daripada Hadis. Sekali baca Sayyidul Istighfar sama macam baca 10 ribu kali 'Astaghfirullahhala'dzim'  ...UAI


KELEBIHAN SESIAPA YANG MENGAMALKANNYA :




مَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا ، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ ، قَبْلَ أَنْ يُمْسِىَ ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ ، وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا ، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ )

Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari ( pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dari kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam ( petang ) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dari kalangan ahli syurga. ( riwayat Imam al-Bukhari ).


Terdapat banyak kelebihan istighfar jika amalan ini dilakukan secara istiqamah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Antara kelebihannya adalah:

1. Allah akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan, dan melepaskannya daripada segala tekanan dan akan dikurniakan rezeki tanpa bisa dikira banyaknya.

2. Sesiapa yang beristighfar sebanyak 70 kali, nescaya Allah akan menghapuskan daripadanya sebanyak 700 dosa.

3. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, atau menganiayai dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah ,nescaya ia akan mendapati Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Pengasihani.(Surah An Nisa' : 110)

4. Tuhan tidak akan menyiksa mereka, selama mereka beristigfar. (Al Anfal: 33)

5. Mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keberkatan dan melorong jalan untuk menuju kepada segala macam kebajikan sama ada di dunia atau di akhirat .

6. Mengurniakan pemberian yang baik kepadanya sehingga ke waktu yang ditentukan ( Surah Hud : Ayat 3) (Imam Habib Abdullah Haddad, 1981 : 232-235)
Wallahhua'lam

Tuesday, 7 March 2017

Pengenalan dan Konsep Utama Banci

Bagi tujuan Banci / Survey, beberapa konsep digunakan dan perlu difahami dengan jelas.

1. BLOK PENGHITUNGAN
2. TEMPAT KEDIAMAN
3. ISI RUMAH

1. BLOK PENGHITUNGAN ( BP )
BP adalah satu kawasan di atas muka bumi yang diwujudkan dan biasanya mempunyai sempadan-sempadan tertentu.  Secara puratanya satu BP mempunyai bilangan tempat kediaman (TK) dalam lingkungan 80 hingga 120 TK.

Sempadan-sempadan tertentu adalah seperti :-

  a)  Sempadan Fizikal;
Boleh dilihat dan mudah dikenali di muka bumi.  Ia termasuk sempadan semulajadi seperti sungai,pantai,bukit dan tasik  dan sempadan buatan manusia seperti jalanraya, landasan keretapi , parit, talian elektrik dan lain2.

  b)  Sempadan Pentadbiran;
Sempadan yang diwujudkan untuk tujuan pentadbiran dan telah diwartakan.  Sempadan Pentadbiran termasuk sempadan Negeri, Daerah, Mukim, Bandaraya, Majlis Daerah, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sempadan ini kadang-kadang sukar ditentukan di permukaan bumi kerana sebahagian sempadannya mengikut sempadan fizikal dan yang lainnya mengikut sempadan lot tanah.

Wednesday, 1 March 2017

Pembangunan E Atlas Sosial

e-Atlas Sosial merupakan aplikasi secara web based  GIS yang bertujuan untuk memaparkan tema data di pelbagai peringkat geografi bagi memenuhi keperluan pengguna. Dibangunkan oleh Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi (BPPD) Jabatan Perangkaan Malaysia.

Aplikasi ini dibangunkan berdasarkan 7 tema data utama iaitu;

kependudukan, perangkaan penting, pendapatan isi rumah, guna tenaga, fasiliti kesihatan & pendidikan serta perdagangan edaran.

Aplikasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif Jabatan untuk mempelbagaikan kaedah dalam penyampaian statistik kepada masyarakat umum dan selaras dengan usaha Kerajaan untuk mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat.




Capaian e-Atlas Sosial ini boleh diakses melalui pautan berikut:
http://bit.ly/2lVvg5A 

Sebarang komen atau maklumbalas amat dialu-alukan.

Monday, 22 August 2016

Banci Ekonomi?

Apakah Banci Ekonomi?

Banci Ekonomi merupakan satu bancian yang mengumpul maklumat lengkap struktur dan profil kegiatan ekonomi serta perniagaan di Malaysia. Banci ini dilaksanakan pada setiap lima tahun. Banci Ekonomi yang pertama dijalankan pada 2001 bagi tahun rujukan 2000.
Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2016 bagi tahun rujukan 2015. Banci ini dilaksanakan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989). Seksyen 5 di bawah akta ini mengkehendaki mana-mana pertubuhan yang beroperasi di Malaysia untuk memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bila Banci Ekonomi dijalankan?

Mulai April hingga November 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia akan mengedarkan soal selidik kepada 700,000 usahawan, syarikat atau perniagaan berdaftar yang beroperasi dalam sektor pertanian, perlombongan & pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan (kecuali perdagangan edaran).

Siapakah yang akan terlibat dalam Banci Ekonomi

Responden Banci Ekonomi terdiri daripada usahawan, syarikat atau perniagaan berdaftar yang menjalankan aktiviti pertanian, perlombongan & pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan (kecuali perdagangan edaran).

Mengapa perlu memberi respon kepada banci ini?

Data yang diperoleh daripada banci ini digunakan untuk:
1. Merancang strategi perniagaan
Banci Ekonomi menyediakan statistik ekonomi yang terperinci untuk ahli perniagaan membuat keputusan dan perancangan serta mengukur prestasi perniagaan mereka.

2. Memberi input kepada pembangunan ekonomi negara
Banci Ekonomi menyediakan statistik yang komprehensif untuk penetapan dasar pembangunan negara dan untuk pengenalpastian sumber pertumbuhan baru kepada ekonomi. Statistik ini telah digunakan dalam penilaian Rancangan Malaysia Kesepuluh serta penggubalan Rancangan Malaysia Kesebelas, Pelan Induk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020 dan Blueprint Sektor Perkhidmatan.

3. Menyediakan penandaarasan baru bagi statistik ekonomi
Data Banci Ekonomi akan digunakan dalam mengemaskini petunjuk ekonomi sedia ada seperti pengasasan semula indeks iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP), Indeks Perkhidmatan (IoS), Indeks Harga Pengeluar (IHPr); penyusunan Supply and UseTable, (SUT), Jadual Input-Output (IO), Akaun Satelit Pelancongan (TSA), Akaun Satelit Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICTSA), System of Environmental-Economic Accounting (SEEA); dan penyediaan profil Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Bagaimana Banci Ekonomi Dijalankan?

Borang soal selidik Banci Ekonomi akan dihantar kepada semua usahawan, syarikat dan perniagaan berdaftar melalui mel/pos. Responden diminta mengembalikan borang soal selidik yang lengkap diisi dalam tempoh sebulan. Sekiranya, soal selidik tidak diterima atau tidak lengkap diisi, pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia akan mengunjungi responden.

Bagaimana mengenali pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia?

Pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia akan membawa dokumen berikut:
i. Kad Kuasa; dan
ii. Surat Pemakluman Pengendalian Banci Ekonomi 2016.
Untuk maklumat dan keterangan lanjut berkaitan Banci Ekonomi 2016, reponden boleh menghubungi Pejabat negeri Jabatan Perangkaan Malaysia.

Soal Selidik 

 



Monday, 28 December 2015

Zikir Ya Latif Maha Lembut

Hari ni rasanya ada satu perkara bagi pendapat saya baiknya dipanjangkan kepada umum kerana simpan pun nak buat apa kan ?
-Ya Latiff maksudnya Yang Maha Lemah Lembut/ Halus salah satu dari Nama Allah (asma'ul husna)..
-Ya Latiff ini juga merupakan zikir pelembut hati (melembutkan hati diri sendiri )
-Zikir ini memang amat mudah meluruhkan hati-hati yang keras batu lagi ego. 
- Mengamalkan Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. 


Kelebihan  Zikir Ya Latiff
****Khasiat yang menjadi rahsia Allah. kalau nak bongkarkan rahsia ni, kenalah amalkan.. Antaranya
1.Berkesan membentuk peribadi anak-anak dan menangani kerenah anak untuk mengurangkan masalah kedegilan dan panas baran anak dan juga supaya anak mudah menerima pelajaran apa yang diajar oleh gurunya .
-Mula-mula berselawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian baca surah taha ayat 1-5, hembuskan dan sentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa YA ALLAH LEMBUT KAN HATI ANAKKU (SEBUT NAMA)..SEBAGAIMANA ENGKAU LEMBUTKAn NABI DAUD AKAN BESI dan menyatakan harapan. sambil berzikir Ya Latiff  didalam hati
-Membaca surah Thaha ayat 1-5,baca surah Ikhlas, Fatihah, Ayat Kursi (1 kali ) Baca berulang kaliYa Latiff kemudian tiupkan pada botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.
-Semasa menidurkan anak dalam buaian baca zikir Ya Latiff
-Sewaktu bangun dari tidur pada waktu pagi, peluklah anak usapkan kepala anak dan berselawat, Baca berulang kali zikir Ya Latiff sambil berniat di dlm hati (bergantung pada niat kita untuk si anak)
2. Sebagai Suami/ isteri atau yang masih bujang ( ingin mendekatkan jodoh) , Perbanyakkan Membaca Zikir Ya Latiff sambil berniat di dalam hati melembutkan hati diri sendiri, melembutkan hati pasangan Suami / isteri atau pasangan kekasih, Meredakan ketegangan rumah tangga, meredakan sifat marah, mengelak perceraian dan melembutkan hati musuh..
3. Bagi yang ingin mendapatkan kemurahan rezeki, mendapatkan pekerjaan, kenaikan pangkat dan melariskan perniagaan atau menghadapi peperiksaan atau temuduga… Perbanyakkan Membaca Zikir Ya Latiff dan surah as-Syura ayat 19  sambil berniat apa yang di hajati.. Insya Allah mudahan berjaya
4. Juga dikatakan dengan izin Allah perbanyakkan membaca Zikir Ya Latiff sebagai penawar perbagai penyakit atau terkena sihir …
5. Ketika ribut petir maka eloklah di perbanyakkan membaca zikir Ya Latiff ni , InsyaAllah akan redalah ribut petir...
6. Bagi yang menghadapi musibah atau bencana elok perbanyakkan membaca zikir Ya Latiff untuk kuatkan semangat dan ketabahan hati menghadapi segala ujian.. 
Boleh download mp3 ustaz manis supaya dapat dengar selalu sambil buat kerja 

Wallahu a'lam 
Blog Doktor Jiwa

Sunday, 27 December 2015

Tirai 2015 JP Penang

Tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya..
Tak sangka cepat sungguh masa berlalu..makin tua aku ni..uban dah penuh di kepala.huhu

Kerja kat Jab Perangkaan ni, memang banyak tugasan baru.
Yang biasa tu PHP atau Pungutan Harga Pengguna. Sebelum ni kutip harga guna buku tapi sejak bulan Julai 2015 semua anggota kena guna Tablet...Fuhh..canggih..serba lengkap dan mudah. Biasa lah benda baru, macam2 ragam dan masalah berlaku. 3 bulan ni aku direhatkan. Bulan Februari nanti tak tau la kena kawasan mana pulak.Rasanya Nibong Tebal kot sebab tak pernah buat lagi kawasan tu. Selalu kena listing ja kawasan ni.

Bab listing atau penyenaraian macam biasa. Setiap bulan ada survey PTB atau Penyiasatan Tenaga Buruh. Sebelum survey tu dibuat kenalah listing dulu. Purata setiap org di anggota Seskyen Rangka akan buat 6 BP / Blok Penghitungan. Banyak tu sebab ambil kira tugasan lain lagi. Di seksyen ni, semua kena buat, mula listing,tangkap data, GIS, siap peta..

Pasal GIS pulak..Baru2 ni kami dah selesaikan satu tugas penting iaitu taklimat khusus pasal GIS. macam kursus tapi tak dipanggil kursus atas sebab tertentu. Bagi anggota lama mcm aku,amirul dan hafiz kena bagi penerangan kepada 10 org anggota lain2 seksyen supaya semua anggota dapat faham apa itu GIS. Permulaan yang baik. Tahun depan jumpa lagi. Jom belajar GIS..hihi

belanja sikit TAKLIMAT GIS JP PENANG



Wednesday, 15 October 2014

Indeks Harga Pengguna (IHP) menjadi pengukur utama kadar inflasi


Kenaikan tinggi harga minyak, penurunan nilai dolar dan krisis kredit global merupakan antara beberapa isu yang dibimbangi boleh menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi di seluruh dunia.
   Di negara ini, kenaikan harga petrol, selain kenaikan harga bahan binaan telah menyaksikan kos pembinaan rumah dan harga barang makanan turut melambung.
Banyak pihak bimbang kenaikan berterusan harga barangan keperluan dan perkhidmatan akan menyebabkan kadar inflasi di negara ini juga terus meningkat.
   Secara amnya, penganalisis menggunakan pelbagai kaedah bagi mengukur pergerakan kadar inflasi termasuk menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP), Deflator Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Penawaran Wang dan beberapa kaedah lain.
  Namun begitu, IHP telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai penanda aras utama bagi menentukan inflasi kerana ia lebih seragam.
  Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, IHP digunakan untuk mengukur perubahan peratus kos pembelian mengikut sesuatu masa bagi 'bakul' tetap barangan dan perkhidmatan.
  ''Bakul ini merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang mempunyai kualiti dan kuantiti yang seakan-akan sama atau tidak berubah.''
  ''Ia mengandungi item untuk sesuatu tempoh yang lama atau boleh diukur secara berterusan di pasaran.'' kata Jabatan itu yang bertanggungjawab mengukur statistik indeks pengguna dan inflasi di negara ini.
  IHP mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada sesuatu tempoh masa yang ditetapkan.
  Menurut Jabatan itu, perubahan harga barangan yang berlaku dalam bakul ini adalah disebabkan oleh perubahan harga sebenar iaitu perubahan harga ini tidak berkaitan langsung dengan perubahan pada kuantiti atau kualiti barangan dan perkhidmatan tersebut.
  ''Barangan dan perkhidmatan dalam bakul ini dikelaskan berpandu kepada Klasifikasi Penggunaan Individu Mengikut Kegunaan (COICOP), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbahagi kepada 12 kumpulan.''
  ''Ia termasuk barangan makanan dan minuman bukan beralkohol, minuman alkohol dan tembakau, pakaian dan kasut, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, kesihatan, pengangkutan, komunikasi, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan, pendidikan, restoran dan hotel, pelbagai barangan dan perkhidmatan.
  Bermula dari Januari 2006, wajaran yang diguna pakai dalam pengiraan IHP adalah merujuk kepada corak perbelanjaan yang diperoleh daripada Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah yang dijalankan dari Jun 2004 hingga Mei 2005,"kata Jabatan itu.
  Harga yang digunakan dalam pengiraan IHP adalah harga runcit melalui Pungutan Harga Pengguna yang dijalankan secara mingguan dan bulanan tanpa mengambil kira sama ada ia dinyatakan sebagai harga biasa atau harga istimewa termasuk juga semua cukai jualan dan cukai eksais yang dikenakan ke atas komoditi tertentu.
  Pemilihan kedai (outlet) di mana harga diperolehi adalah dipilih berdasarkan nilai jualan yang tertinggi.
  Harga bagi 460 barangan telah digunakan dalam pengiraan indeks dan harga ini diperolehi daripada lebih 20,000 saluran runcit di Semenanjung,2,200 saluran runcit di Sabah dan 2,400 saluran runcit di Sarawak.
  Tiga kaedah pengiraan perubahan IHP yang digunapakai sekarang ialah perubahan peratus antara bulan dan bagi bulan yang sama pada tahun sebelumnya (tahun ke tahun), bulan semasa dengan bulan sebelumnya (bulan ke bulan) dan perubahan peratus antara purata tahunan tahun semasa yang spesifik dengan purata tahunan yang sama ditetapkan pada tahun sebelumnya.

Contoh Pengiraan Perubahan Kadar Inflasi

Jika IHP semasa ialah 125.4 mata                                    = IHP semasa - IHP sebelum
manakala IHP sebelumnya ialah                                          ______________________ x 100
124.3 mata                                                                                IHP sebelum
                                                                                       =  125.4  - 124.3
Formula pengiraan                                                             ________________x100
                                                                                               124.3
                                                                                       = 0.9 % peningkatan

Analisis oleh KAMARULZAIDI KAMIS

Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Ogos 2014 meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 110.5 berbanding dengan 107.0 pada bulan yang sama tahun lepas. Kenaikan ini telah disumbangkan oleh kenaikan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol dan indeks kumpulan Bukan Makanan iaitu masing-masing sebanyak 3.3 peratus. Peningkatan bagi kumpulan Bukan Makanan adalah ketara bagi empat kumpulan utama iaitu kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol ( + 11.6 peratus ); Pengangkutan ( + 5.5 peratus ); Restoran & Hotel ( + 5.1 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api ( + 3.4 peratus ). Keempat-empat kumpulan barangan dan perkhidmatan tersebut telah menyumbang sebanyak 61.3 peratus kepada kenaikan IHP bagi bulan Ogos tahun ini. Maklumat ini boleh dirujuk dalam Jadual 2.

IHP bagi tempoh lapan bulan pertama ( Januari hingga Ogos ) 2014 juga meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Peningkatan ini telah disumbangkan oleh faktor yang sama iaitu oleh kumpulan barangan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang telah meningkat sebanyak 3.6 peratus; kumpulan Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.1 peratus ); Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus) dan kumpulan Perumahan, Air, Eletrik, Gas & Bahan Api ( + 3.4 peratus ).
Perubahan IHP bagi tempoh Januari - Ogos 2014 / 2013
Kenaikan sebanyak 3.3 peratus dalam IHP bagi tempoh lapan bulan tahun 2014 adalah disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks Komunikasi dan Pakaian & Kasut masing-masing turun sebanyak 0.6 dan 0.2 peratus. Kenaikan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Makanan & Minuman Bukan Alkohol ( + 3.6 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain ( + 3.4 peratus ). Kenaikan lain ialah Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.1 peratus ) dan Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus ).
 
Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh Januari hingga Julai 2014 meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 109.9 dibandingkan dengan 106.4 pada tempoh yang sama tahun lepas. Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2013, IHP Julai 2014 mencatatkan kenaikan sebanyak 3.2 peratus daripada 106.9 kepada 110.3 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, IHP naik sebanyak 0.1 peratus.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan indeks Bukan Makanan bagi bulan Julai 2014 masing-masing menunjukkan kenaikan sebanyak 3.1 dan 3.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun 2013. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2014, indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan indeks Bukan Makanan mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 3.6 dan 3.1 peratus. Berbanding dengan bulan sebelumnya, indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat sebanyak 0.3 peratus manakala indeks Bukan Makanan kekal tidak berubah pada 108.0 (Jadual 1).
Perubahan IHP bagi tempoh Januari - Julai 2014 / 2013
Kenaikan sebanyak 3.3 peratus dalam IHP adalah disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks Komunikasi dan Pakaian & Kasut masing-masing turun sebanyak 0.6 dan 0.1 peratus. Kenaikan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Makanan & Minuman Bukan Alkohol ( + 3.6 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain ( + 3.3 peratus ). Kenaikan lain ialah Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.3 peratus ); Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus ); Kesihatan ( + 2.5 peratus ); Pendidikan ( + 2.4 peratus ); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan ( + 1.7 peratus ); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah ( + 1.2 peratus ) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan ( + 0.4 peratus ).
Indeks Harga Pengguna Malaysia