jom like facebook DOSM Penang

Tuesday 7 March 2017

Pengenalan dan Konsep Utama Banci

Bagi tujuan Banci / Survey, beberapa konsep digunakan dan perlu difahami dengan jelas.

1. BLOK PENGHITUNGAN
2. TEMPAT KEDIAMAN
3. ISI RUMAH

1. BLOK PENGHITUNGAN ( BP )
BP adalah satu kawasan di atas muka bumi yang diwujudkan dan biasanya mempunyai sempadan-sempadan tertentu.  Secara puratanya satu BP mempunyai bilangan tempat kediaman (TK) dalam lingkungan 80 hingga 120 TK.

Sempadan-sempadan tertentu adalah seperti :-

  a)  Sempadan Fizikal;
Boleh dilihat dan mudah dikenali di muka bumi.  Ia termasuk sempadan semulajadi seperti sungai,pantai,bukit dan tasik  dan sempadan buatan manusia seperti jalanraya, landasan keretapi , parit, talian elektrik dan lain2.

  b)  Sempadan Pentadbiran;
Sempadan yang diwujudkan untuk tujuan pentadbiran dan telah diwartakan.  Sempadan Pentadbiran termasuk sempadan Negeri, Daerah, Mukim, Bandaraya, Majlis Daerah, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sempadan ini kadang-kadang sukar ditentukan di permukaan bumi kerana sebahagian sempadannya mengikut sempadan fizikal dan yang lainnya mengikut sempadan lot tanah.


  c)  Sempadan Rekaan;
Diwujudkan apabila tidak ada tanda bumi yang sesuai dapat digunakan sebagai garis pemisah di antara dua BP yang bersebelahan.
Kebiasaannya sempadan ini merentangi sawah padi, hutan simpan, bukit bukau dan sebagainya di mana tidak terdapat TK.

Bagi sesetengah keadaan, BP-BP ini mungkin hanya terdiri daripada beberapa lokaliti atau kampung sahaja, contohnya ;
  a)  Kawasan perkampungan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
  b)  Kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang sukar dihubungi melalui jalan raya.


2.  TEMPAT KEDIAMAN ( TK )
2.1  TK ialah struktur yang terasing dan bebas, digunakan untuk kediaman secara tetap atau sementara.
Ciri-ciri penting bagi TK ialah bebas dan terasing.

 Bebas bermaksud terdapatnya jalan masuk/keluar secara terus ke TK berkenaan atau melalui ruang umum, tetapi tidak melalui ruang kediaman orang lain.  Dalam ertikata yang lain, penghuni bebas keluar masuk dari TK mereka tanpa melalui ruang kediaman orang lain.
Untuk kondominium, apartment atau flat, jalan masuk/keluar boleh jadi secara terus dari luar atau menerusi satu ruang umum atau kaki lima.

Terasing bermaksud rupa bentuk TK secara fizikalnya dikelilingi atau dipisahkan oleh dinding, pagar dan sebagainya.
TK boleh wujud dalam bentuk rumah sesebuah, rumah berkembar, rumah teres, apartment, flat, rumah kongsi atau sebarang jenis struktur sementara atau tetap yang lain.  Ia boleh juga wujud dalam bentuk bangsal, gua, tempat berteduh kecil yang berbumbung atau bot/rakit yang digunakan sebagai tempat kediaman.
Kadangkala struktur yang biasanya tidak digunakan sebagai TK seperti kedai perniagaan mungkin mengandungi TK umpamanya kedai runcit yang mempunyai bilik di sebelah belakang yang digunakan sebagai TK atau stesen minyak yang mempunyai struktur bersambung dan didiami oleh penjaganya.

Mengenalpasti TK?
Penghuni sesebuah TK boleh mempunyai seorang atau lebih individu lain yang tinggal bersamanya termasuk tetamu untuk satu jangka masa tertentu.

Apartment atau bilik-bilik persendirian yang terdapat dalam TK Institusi seperti hotel dan didiami oleh kakitangan hotel itu sendiri hendaklah dianggap sebagai TK berasingan.

Jika terdapat rumah sebuah dibahagikan kepada beberapa unit berasingan di mana unit-unit tersebut wujud secara bebas dan terasing, maka ia hendaklah dianggap sebagai TK berasingan.
Bagaimanapun , jika penghuni unit-unit tersebut mempunyai pertalian kekeluargaan dan mereka makan bersama, maka unit-unit yang berkenaan dianggap sebagai satu TK sahaja.

2.2  TEMPAT KEDIAMAN INSTITUSI ( TKI)
TKI ialah TK yang dikhaskan bagi kumpulan individu seperti hotel, rumah rehat, asrama, hospital, penjara, rumah anak yatim, rumah orang tua, pusat pemulihan akhlak, berek kem tentera dan lain2.

2.3  BUKAN TEMPAT KEDIAMAN ( BTK )
BTK ialah satu struktur yang digunakan untuk tujuan selain daripada TK seperti masjid, kuil, gereja, sekolah, pejabat , stor dan lain2.



3.  ISI RUMAH ( IR )
3.1  IR  ialas satu kumpulan orang yang tinggal bersama dan membuat peruntukan yang sama untuk makanan dan keperluan-keperluan hidup yang lain.

Ciri-ciri IR ;
i)  Kumpulan ini membayar peruntukan untuk makanan daripada sebahagian pendapatan yang dikumpul dan membuat penyediaan yang sama untuk keperluan-keperluan asas hidup yang lain.
ii) Sesebuah IR boleh mengandungi beberapa ahli atau mungkin seorang ahli sahaja.
iii) Orang di dalam sesebuah TK mungkin bersaudara atau tidak bersaudara atau gabungan kedua-duanya sekali.
iv) Biasanya satu IR mendiami sebuah TK.  Bagaimanapun kadangkala terdapat lebih dari satu IR mendiami sesebuah TK.

3.2  Ahli Biasa
Ahli biasa ialah mereka yang biasanya tinggal di TK berkenaan, penghuninya makan bersama, tinggal bersama dan berkongsi perbelanjaan isi rumah.  Orang yang menumpang dan pembantu rumah yang tinggal dan makan bersama hendaklah dianggap sebagai ahli biasa di TK tersebut

Secara umumnya taraf biasa seseorang dapat ditentukan dengan empat cara berikut;
i)  Seperti dinyatakn oleh responden.
ii)  Orang yang bekerja lazimnya tempat tinggal biasanya adalah dalam lingkungan jarak perjalanan dari tempat kerja.  Sungguhpun begitu terdapat di mana semasa penyenaraian ahli IR bertugas atau tidak berada di tempat tinggal biasanya. Sebagai contoh; En Yusof bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur manakala keluarga beliau menetap di Kota Bharu.  En Yusof masih dianggap sebagai ahli biasa di Kuala Lumpur  walaupun semasa penyenaraian beliau berada di Kota Bharu.
iii)  Orang yang tidak bekerja
iv)  Orang yang bekerja/berada di institusi


https://www.mycensus.gov.my/banci/www/index.php?&id=3&page_id=10#2








No comments:

Post a Comment