seek solutions not excuses

Monday, 22 August 2016

Banci Ekonomi?

Apakah Banci Ekonomi?

Banci Ekonomi merupakan satu bancian yang mengumpul maklumat lengkap struktur dan profil kegiatan ekonomi serta perniagaan di Malaysia. Banci ini dilaksanakan pada setiap lima tahun. Banci Ekonomi yang pertama dijalankan pada 2001 bagi tahun rujukan 2000.
Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2016 bagi tahun rujukan 2015. Banci ini dilaksanakan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989). Seksyen 5 di bawah akta ini mengkehendaki mana-mana pertubuhan yang beroperasi di Malaysia untuk memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bila Banci Ekonomi dijalankan?

Mulai April hingga November 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia akan mengedarkan soal selidik kepada 700,000 usahawan, syarikat atau perniagaan berdaftar yang beroperasi dalam sektor pertanian, perlombongan & pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan (kecuali perdagangan edaran).

Siapakah yang akan terlibat dalam Banci Ekonomi

Responden Banci Ekonomi terdiri daripada usahawan, syarikat atau perniagaan berdaftar yang menjalankan aktiviti pertanian, perlombongan & pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan (kecuali perdagangan edaran).

Mengapa perlu memberi respon kepada banci ini?

Data yang diperoleh daripada banci ini digunakan untuk:
1. Merancang strategi perniagaan
Banci Ekonomi menyediakan statistik ekonomi yang terperinci untuk ahli perniagaan membuat keputusan dan perancangan serta mengukur prestasi perniagaan mereka.

2. Memberi input kepada pembangunan ekonomi negara
Banci Ekonomi menyediakan statistik yang komprehensif untuk penetapan dasar pembangunan negara dan untuk pengenalpastian sumber pertumbuhan baru kepada ekonomi. Statistik ini telah digunakan dalam penilaian Rancangan Malaysia Kesepuluh serta penggubalan Rancangan Malaysia Kesebelas, Pelan Induk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020 dan Blueprint Sektor Perkhidmatan.

3. Menyediakan penandaarasan baru bagi statistik ekonomi
Data Banci Ekonomi akan digunakan dalam mengemaskini petunjuk ekonomi sedia ada seperti pengasasan semula indeks iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP), Indeks Perkhidmatan (IoS), Indeks Harga Pengeluar (IHPr); penyusunan Supply and UseTable, (SUT), Jadual Input-Output (IO), Akaun Satelit Pelancongan (TSA), Akaun Satelit Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICTSA), System of Environmental-Economic Accounting (SEEA); dan penyediaan profil Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Bagaimana Banci Ekonomi Dijalankan?

Borang soal selidik Banci Ekonomi akan dihantar kepada semua usahawan, syarikat dan perniagaan berdaftar melalui mel/pos. Responden diminta mengembalikan borang soal selidik yang lengkap diisi dalam tempoh sebulan. Sekiranya, soal selidik tidak diterima atau tidak lengkap diisi, pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia akan mengunjungi responden.

Bagaimana mengenali pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia?

Pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia akan membawa dokumen berikut:
i. Kad Kuasa; dan
ii. Surat Pemakluman Pengendalian Banci Ekonomi 2016.
Untuk maklumat dan keterangan lanjut berkaitan Banci Ekonomi 2016, reponden boleh menghubungi Pejabat negeri Jabatan Perangkaan Malaysia.

Soal Selidik 

 



No comments:

Post a Comment