jom like facebook DOSM Penang

Wednesday 15 October 2014

Indeks Harga Pengguna (IHP) menjadi pengukur utama kadar inflasi


Kenaikan tinggi harga minyak, penurunan nilai dolar dan krisis kredit global merupakan antara beberapa isu yang dibimbangi boleh menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi di seluruh dunia.
   Di negara ini, kenaikan harga petrol, selain kenaikan harga bahan binaan telah menyaksikan kos pembinaan rumah dan harga barang makanan turut melambung.
Banyak pihak bimbang kenaikan berterusan harga barangan keperluan dan perkhidmatan akan menyebabkan kadar inflasi di negara ini juga terus meningkat.
   Secara amnya, penganalisis menggunakan pelbagai kaedah bagi mengukur pergerakan kadar inflasi termasuk menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP), Deflator Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Penawaran Wang dan beberapa kaedah lain.
  Namun begitu, IHP telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai penanda aras utama bagi menentukan inflasi kerana ia lebih seragam.
  Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, IHP digunakan untuk mengukur perubahan peratus kos pembelian mengikut sesuatu masa bagi 'bakul' tetap barangan dan perkhidmatan.
  ''Bakul ini merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang mempunyai kualiti dan kuantiti yang seakan-akan sama atau tidak berubah.''
  ''Ia mengandungi item untuk sesuatu tempoh yang lama atau boleh diukur secara berterusan di pasaran.'' kata Jabatan itu yang bertanggungjawab mengukur statistik indeks pengguna dan inflasi di negara ini.
  IHP mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada sesuatu tempoh masa yang ditetapkan.
  Menurut Jabatan itu, perubahan harga barangan yang berlaku dalam bakul ini adalah disebabkan oleh perubahan harga sebenar iaitu perubahan harga ini tidak berkaitan langsung dengan perubahan pada kuantiti atau kualiti barangan dan perkhidmatan tersebut.
  ''Barangan dan perkhidmatan dalam bakul ini dikelaskan berpandu kepada Klasifikasi Penggunaan Individu Mengikut Kegunaan (COICOP), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbahagi kepada 12 kumpulan.''
  ''Ia termasuk barangan makanan dan minuman bukan beralkohol, minuman alkohol dan tembakau, pakaian dan kasut, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, kesihatan, pengangkutan, komunikasi, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan, pendidikan, restoran dan hotel, pelbagai barangan dan perkhidmatan.
  Bermula dari Januari 2006, wajaran yang diguna pakai dalam pengiraan IHP adalah merujuk kepada corak perbelanjaan yang diperoleh daripada Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah yang dijalankan dari Jun 2004 hingga Mei 2005,"kata Jabatan itu.
  Harga yang digunakan dalam pengiraan IHP adalah harga runcit melalui Pungutan Harga Pengguna yang dijalankan secara mingguan dan bulanan tanpa mengambil kira sama ada ia dinyatakan sebagai harga biasa atau harga istimewa termasuk juga semua cukai jualan dan cukai eksais yang dikenakan ke atas komoditi tertentu.
  Pemilihan kedai (outlet) di mana harga diperolehi adalah dipilih berdasarkan nilai jualan yang tertinggi.
  Harga bagi 460 barangan telah digunakan dalam pengiraan indeks dan harga ini diperolehi daripada lebih 20,000 saluran runcit di Semenanjung,2,200 saluran runcit di Sabah dan 2,400 saluran runcit di Sarawak.
  Tiga kaedah pengiraan perubahan IHP yang digunapakai sekarang ialah perubahan peratus antara bulan dan bagi bulan yang sama pada tahun sebelumnya (tahun ke tahun), bulan semasa dengan bulan sebelumnya (bulan ke bulan) dan perubahan peratus antara purata tahunan tahun semasa yang spesifik dengan purata tahunan yang sama ditetapkan pada tahun sebelumnya.

Contoh Pengiraan Perubahan Kadar Inflasi

Jika IHP semasa ialah 125.4 mata                                    = IHP semasa - IHP sebelum
manakala IHP sebelumnya ialah                                          ______________________ x 100
124.3 mata                                                                                IHP sebelum
                                                                                       =  125.4  - 124.3
Formula pengiraan                                                             ________________x100
                                                                                               124.3
                                                                                       = 0.9 % peningkatan

Analisis oleh KAMARULZAIDI KAMIS

Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Ogos 2014 meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 110.5 berbanding dengan 107.0 pada bulan yang sama tahun lepas. Kenaikan ini telah disumbangkan oleh kenaikan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol dan indeks kumpulan Bukan Makanan iaitu masing-masing sebanyak 3.3 peratus. Peningkatan bagi kumpulan Bukan Makanan adalah ketara bagi empat kumpulan utama iaitu kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol ( + 11.6 peratus ); Pengangkutan ( + 5.5 peratus ); Restoran & Hotel ( + 5.1 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api ( + 3.4 peratus ). Keempat-empat kumpulan barangan dan perkhidmatan tersebut telah menyumbang sebanyak 61.3 peratus kepada kenaikan IHP bagi bulan Ogos tahun ini. Maklumat ini boleh dirujuk dalam Jadual 2.

IHP bagi tempoh lapan bulan pertama ( Januari hingga Ogos ) 2014 juga meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Peningkatan ini telah disumbangkan oleh faktor yang sama iaitu oleh kumpulan barangan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang telah meningkat sebanyak 3.6 peratus; kumpulan Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.1 peratus ); Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus) dan kumpulan Perumahan, Air, Eletrik, Gas & Bahan Api ( + 3.4 peratus ).
Perubahan IHP bagi tempoh Januari - Ogos 2014 / 2013
Kenaikan sebanyak 3.3 peratus dalam IHP bagi tempoh lapan bulan tahun 2014 adalah disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks Komunikasi dan Pakaian & Kasut masing-masing turun sebanyak 0.6 dan 0.2 peratus. Kenaikan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Makanan & Minuman Bukan Alkohol ( + 3.6 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain ( + 3.4 peratus ). Kenaikan lain ialah Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.1 peratus ) dan Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus ).
 
Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh Januari hingga Julai 2014 meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 109.9 dibandingkan dengan 106.4 pada tempoh yang sama tahun lepas. Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2013, IHP Julai 2014 mencatatkan kenaikan sebanyak 3.2 peratus daripada 106.9 kepada 110.3 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, IHP naik sebanyak 0.1 peratus.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan indeks Bukan Makanan bagi bulan Julai 2014 masing-masing menunjukkan kenaikan sebanyak 3.1 dan 3.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun 2013. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2014, indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan indeks Bukan Makanan mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 3.6 dan 3.1 peratus. Berbanding dengan bulan sebelumnya, indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat sebanyak 0.3 peratus manakala indeks Bukan Makanan kekal tidak berubah pada 108.0 (Jadual 1).
Perubahan IHP bagi tempoh Januari - Julai 2014 / 2013
Kenaikan sebanyak 3.3 peratus dalam IHP adalah disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks Komunikasi dan Pakaian & Kasut masing-masing turun sebanyak 0.6 dan 0.1 peratus. Kenaikan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Makanan & Minuman Bukan Alkohol ( + 3.6 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain ( + 3.3 peratus ). Kenaikan lain ialah Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.3 peratus ); Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus ); Kesihatan ( + 2.5 peratus ); Pendidikan ( + 2.4 peratus ); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan ( + 1.7 peratus ); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah ( + 1.2 peratus ) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan ( + 0.4 peratus ).
Indeks Harga Pengguna Malaysia

No comments:

Post a Comment