jom like facebook DOSM Penang

Monday, 28 December 2015

Zikir Ya Latif Maha Lembut

Hari ni rasanya ada satu perkara bagi pendapat saya baiknya dipanjangkan kepada umum kerana simpan pun nak buat apa kan ?
-Ya Latiff maksudnya Yang Maha Lemah Lembut/ Halus salah satu dari Nama Allah (asma'ul husna)..
-Ya Latiff ini juga merupakan zikir pelembut hati (melembutkan hati diri sendiri )
-Zikir ini memang amat mudah meluruhkan hati-hati yang keras batu lagi ego. 
- Mengamalkan Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. 


Kelebihan  Zikir Ya Latiff
****Khasiat yang menjadi rahsia Allah. kalau nak bongkarkan rahsia ni, kenalah amalkan.. Antaranya
1.Berkesan membentuk peribadi anak-anak dan menangani kerenah anak untuk mengurangkan masalah kedegilan dan panas baran anak dan juga supaya anak mudah menerima pelajaran apa yang diajar oleh gurunya .
-Mula-mula berselawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian baca surah taha ayat 1-5, hembuskan dan sentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa YA ALLAH LEMBUT KAN HATI ANAKKU (SEBUT NAMA)..SEBAGAIMANA ENGKAU LEMBUTKAn NABI DAUD AKAN BESI dan menyatakan harapan. sambil berzikir Ya Latiff  didalam hati
-Membaca surah Thaha ayat 1-5,baca surah Ikhlas, Fatihah, Ayat Kursi (1 kali ) Baca berulang kaliYa Latiff kemudian tiupkan pada botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.
-Semasa menidurkan anak dalam buaian baca zikir Ya Latiff
-Sewaktu bangun dari tidur pada waktu pagi, peluklah anak usapkan kepala anak dan berselawat, Baca berulang kali zikir Ya Latiff sambil berniat di dlm hati (bergantung pada niat kita untuk si anak)
2. Sebagai Suami/ isteri atau yang masih bujang ( ingin mendekatkan jodoh) , Perbanyakkan Membaca Zikir Ya Latiff sambil berniat di dalam hati melembutkan hati diri sendiri, melembutkan hati pasangan Suami / isteri atau pasangan kekasih, Meredakan ketegangan rumah tangga, meredakan sifat marah, mengelak perceraian dan melembutkan hati musuh..
3. Bagi yang ingin mendapatkan kemurahan rezeki, mendapatkan pekerjaan, kenaikan pangkat dan melariskan perniagaan atau menghadapi peperiksaan atau temuduga… Perbanyakkan Membaca Zikir Ya Latiff dan surah as-Syura ayat 19  sambil berniat apa yang di hajati.. Insya Allah mudahan berjaya
4. Juga dikatakan dengan izin Allah perbanyakkan membaca Zikir Ya Latiff sebagai penawar perbagai penyakit atau terkena sihir …
5. Ketika ribut petir maka eloklah di perbanyakkan membaca zikir Ya Latiff ni , InsyaAllah akan redalah ribut petir...
6. Bagi yang menghadapi musibah atau bencana elok perbanyakkan membaca zikir Ya Latiff untuk kuatkan semangat dan ketabahan hati menghadapi segala ujian.. 
Boleh download mp3 ustaz manis supaya dapat dengar selalu sambil buat kerja 

Wallahu a'lam 
Blog Doktor Jiwa

Sunday, 27 December 2015

Tirai 2015 JP Penang

Tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya..
Tak sangka cepat sungguh masa berlalu..makin tua aku ni..uban dah penuh di kepala.huhu

Kerja kat Jab Perangkaan ni, memang banyak tugasan baru.
Yang biasa tu PHP atau Pungutan Harga Pengguna. Sebelum ni kutip harga guna buku tapi sejak bulan Julai 2015 semua anggota kena guna Tablet...Fuhh..canggih..serba lengkap dan mudah. Biasa lah benda baru, macam2 ragam dan masalah berlaku. 3 bulan ni aku direhatkan. Bulan Februari nanti tak tau la kena kawasan mana pulak.Rasanya Nibong Tebal kot sebab tak pernah buat lagi kawasan tu. Selalu kena listing ja kawasan ni.

Bab listing atau penyenaraian macam biasa. Setiap bulan ada survey PTB atau Penyiasatan Tenaga Buruh. Sebelum survey tu dibuat kenalah listing dulu. Purata setiap org di anggota Seskyen Rangka akan buat 6 BP / Blok Penghitungan. Banyak tu sebab ambil kira tugasan lain lagi. Di seksyen ni, semua kena buat, mula listing,tangkap data, GIS, siap peta..

Pasal GIS pulak..Baru2 ni kami dah selesaikan satu tugas penting iaitu taklimat khusus pasal GIS. macam kursus tapi tak dipanggil kursus atas sebab tertentu. Bagi anggota lama mcm aku,amirul dan hafiz kena bagi penerangan kepada 10 org anggota lain2 seksyen supaya semua anggota dapat faham apa itu GIS. Permulaan yang baik. Tahun depan jumpa lagi. Jom belajar GIS..hihi

belanja sikit TAKLIMAT GIS JP PENANG



Wednesday, 15 October 2014

Indeks Harga Pengguna (IHP) menjadi pengukur utama kadar inflasi


Kenaikan tinggi harga minyak, penurunan nilai dolar dan krisis kredit global merupakan antara beberapa isu yang dibimbangi boleh menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi di seluruh dunia.
   Di negara ini, kenaikan harga petrol, selain kenaikan harga bahan binaan telah menyaksikan kos pembinaan rumah dan harga barang makanan turut melambung.
Banyak pihak bimbang kenaikan berterusan harga barangan keperluan dan perkhidmatan akan menyebabkan kadar inflasi di negara ini juga terus meningkat.
   Secara amnya, penganalisis menggunakan pelbagai kaedah bagi mengukur pergerakan kadar inflasi termasuk menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP), Deflator Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Penawaran Wang dan beberapa kaedah lain.
  Namun begitu, IHP telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai penanda aras utama bagi menentukan inflasi kerana ia lebih seragam.
  Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, IHP digunakan untuk mengukur perubahan peratus kos pembelian mengikut sesuatu masa bagi 'bakul' tetap barangan dan perkhidmatan.
  ''Bakul ini merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang mempunyai kualiti dan kuantiti yang seakan-akan sama atau tidak berubah.''
  ''Ia mengandungi item untuk sesuatu tempoh yang lama atau boleh diukur secara berterusan di pasaran.'' kata Jabatan itu yang bertanggungjawab mengukur statistik indeks pengguna dan inflasi di negara ini.
  IHP mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada sesuatu tempoh masa yang ditetapkan.
  Menurut Jabatan itu, perubahan harga barangan yang berlaku dalam bakul ini adalah disebabkan oleh perubahan harga sebenar iaitu perubahan harga ini tidak berkaitan langsung dengan perubahan pada kuantiti atau kualiti barangan dan perkhidmatan tersebut.
  ''Barangan dan perkhidmatan dalam bakul ini dikelaskan berpandu kepada Klasifikasi Penggunaan Individu Mengikut Kegunaan (COICOP), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbahagi kepada 12 kumpulan.''
  ''Ia termasuk barangan makanan dan minuman bukan beralkohol, minuman alkohol dan tembakau, pakaian dan kasut, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, kesihatan, pengangkutan, komunikasi, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan, pendidikan, restoran dan hotel, pelbagai barangan dan perkhidmatan.
  Bermula dari Januari 2006, wajaran yang diguna pakai dalam pengiraan IHP adalah merujuk kepada corak perbelanjaan yang diperoleh daripada Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah yang dijalankan dari Jun 2004 hingga Mei 2005,"kata Jabatan itu.
  Harga yang digunakan dalam pengiraan IHP adalah harga runcit melalui Pungutan Harga Pengguna yang dijalankan secara mingguan dan bulanan tanpa mengambil kira sama ada ia dinyatakan sebagai harga biasa atau harga istimewa termasuk juga semua cukai jualan dan cukai eksais yang dikenakan ke atas komoditi tertentu.
  Pemilihan kedai (outlet) di mana harga diperolehi adalah dipilih berdasarkan nilai jualan yang tertinggi.
  Harga bagi 460 barangan telah digunakan dalam pengiraan indeks dan harga ini diperolehi daripada lebih 20,000 saluran runcit di Semenanjung,2,200 saluran runcit di Sabah dan 2,400 saluran runcit di Sarawak.
  Tiga kaedah pengiraan perubahan IHP yang digunapakai sekarang ialah perubahan peratus antara bulan dan bagi bulan yang sama pada tahun sebelumnya (tahun ke tahun), bulan semasa dengan bulan sebelumnya (bulan ke bulan) dan perubahan peratus antara purata tahunan tahun semasa yang spesifik dengan purata tahunan yang sama ditetapkan pada tahun sebelumnya.

Contoh Pengiraan Perubahan Kadar Inflasi

Jika IHP semasa ialah 125.4 mata                                    = IHP semasa - IHP sebelum
manakala IHP sebelumnya ialah                                          ______________________ x 100
124.3 mata                                                                                IHP sebelum
                                                                                       =  125.4  - 124.3
Formula pengiraan                                                             ________________x100
                                                                                               124.3
                                                                                       = 0.9 % peningkatan

Analisis oleh KAMARULZAIDI KAMIS

Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Ogos 2014 meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 110.5 berbanding dengan 107.0 pada bulan yang sama tahun lepas. Kenaikan ini telah disumbangkan oleh kenaikan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol dan indeks kumpulan Bukan Makanan iaitu masing-masing sebanyak 3.3 peratus. Peningkatan bagi kumpulan Bukan Makanan adalah ketara bagi empat kumpulan utama iaitu kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol ( + 11.6 peratus ); Pengangkutan ( + 5.5 peratus ); Restoran & Hotel ( + 5.1 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api ( + 3.4 peratus ). Keempat-empat kumpulan barangan dan perkhidmatan tersebut telah menyumbang sebanyak 61.3 peratus kepada kenaikan IHP bagi bulan Ogos tahun ini. Maklumat ini boleh dirujuk dalam Jadual 2.

IHP bagi tempoh lapan bulan pertama ( Januari hingga Ogos ) 2014 juga meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Peningkatan ini telah disumbangkan oleh faktor yang sama iaitu oleh kumpulan barangan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang telah meningkat sebanyak 3.6 peratus; kumpulan Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.1 peratus ); Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus) dan kumpulan Perumahan, Air, Eletrik, Gas & Bahan Api ( + 3.4 peratus ).
Perubahan IHP bagi tempoh Januari - Ogos 2014 / 2013
Kenaikan sebanyak 3.3 peratus dalam IHP bagi tempoh lapan bulan tahun 2014 adalah disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks Komunikasi dan Pakaian & Kasut masing-masing turun sebanyak 0.6 dan 0.2 peratus. Kenaikan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Makanan & Minuman Bukan Alkohol ( + 3.6 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain ( + 3.4 peratus ). Kenaikan lain ialah Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.1 peratus ) dan Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus ).
 
Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh Januari hingga Julai 2014 meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 109.9 dibandingkan dengan 106.4 pada tempoh yang sama tahun lepas. Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2013, IHP Julai 2014 mencatatkan kenaikan sebanyak 3.2 peratus daripada 106.9 kepada 110.3 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, IHP naik sebanyak 0.1 peratus.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan indeks Bukan Makanan bagi bulan Julai 2014 masing-masing menunjukkan kenaikan sebanyak 3.1 dan 3.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun 2013. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2014, indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan indeks Bukan Makanan mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 3.6 dan 3.1 peratus. Berbanding dengan bulan sebelumnya, indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat sebanyak 0.3 peratus manakala indeks Bukan Makanan kekal tidak berubah pada 108.0 (Jadual 1).
Perubahan IHP bagi tempoh Januari - Julai 2014 / 2013
Kenaikan sebanyak 3.3 peratus dalam IHP adalah disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks Komunikasi dan Pakaian & Kasut masing-masing turun sebanyak 0.6 dan 0.1 peratus. Kenaikan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks Pengangkutan ( + 5.4 peratus ); Makanan & Minuman Bukan Alkohol ( + 3.6 peratus ) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain ( + 3.3 peratus ). Kenaikan lain ialah Minuman Alkohol & Tembakau ( + 13.3 peratus ); Restoran & Hotel ( + 4.7 peratus ); Kesihatan ( + 2.5 peratus ); Pendidikan ( + 2.4 peratus ); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan ( + 1.7 peratus ); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah ( + 1.2 peratus ) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan ( + 0.4 peratus ).
Indeks Harga Pengguna Malaysia

Tuesday, 7 October 2014

Banci Penduduk dan Perumahan 2010

Logo Banci Penduduk dan Perumahan 2010

1.PENGENALAN
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia merupakan satu pembancian semua tempat kediaman dan penduduk di seluruh negara.  Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 adalah banci kelima yang akan dijalankan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963. Banci dijalankan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (Disemak 1969). Akta Banci mewajibkan orang awam menjawab semua soalan banci dan akta ini menjamin bahawa maklumat individu adalah sulit dan tidak akan dihebahkan.  Banci yang lalu telah dijalankan pada tahun 1970, 1980,1991 dan 2000. Pelaksanaan Banci 2010 telah diluluskan oleh kabinet dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 22 April 2009 dengan peruntukan sebanyak RM200.2 juta bagi tahun 2010.  Banci kelima ini akan dilaksanakan pada Julai 2010.

Data yang dikumpul semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2010 akan membekalkan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk. Data dan penemuan penting mengenai stok perumahan, jenis dan corak pemilikan juga diperoleh. Maklumat ini dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain.

2.

OBJEKTIF
Objektif Banci diadakan antaranya ialah untuk:
i.
ii.
Mengumpul maklumat perangkaan yang menyeluruh berkaitan penduduk dan perumahan negara.
Menyediakan maklumat yang meluas tentang.
  • Bilangan penduduk dan isi rumah serta ciri-ciri demografi, sosial dan ekonomi; dan
  • Bilangan tempat kediaman mengikut jenis, ciri dan kemudahan asas yang sedia ada
iii.
iv.
v.
vi.
Menyediakan data asas penduduk dan perumahan di pelbagai peringkat geografi sehingga ke kawasan yang kecil.
Mendapatkan maklumat terperinci berkaitan migrasi dalaman dan antarabangsa untuk melihat pola migrasi.
Asas kepada penyediaan geran daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri; dan
Input kepada anggaran dan unjuran penduduk semasa.


3.TEMPOH PEMBANCIAN
Tempoh pembancian adalah pada 6 Julai hingga 22 Ogos 2010.


4.PENDEKATAN
Hari Banci 2010 telah ditetapkan pada 6 Julai 2010 yang jatuh pada hari Selasa iaitu satu hari yang dianggap mempunyai mobiliti penduduk yang minimum.
Terdapat dua pendekatan yang biasanya digunakan dalam pelaksanaan Banci iaitu pendekatan de jure dan de facto. Bagi pendekatan de jure, maklumat setiap penduduk dipungut mengikut tempat tinggal biasa mereka pada Hari Banci. Manakala, pendekatan de facto maklumat seseorang dihitung mengikut tempat di mana mereka berada pada Hari Banci. Di Malaysia, secara tradisinya Banci menggunakan pendekatan de facto untuk penghitungan penduduk. Percubaan telah dibuat dalam Banci 1980 dan 1991 untuk mendapatkan kiraan penduduk secara de jure sebagai tambahan kepada de facto yang digunakan. Didapati bahawa kiraan penduduk secara de jure adalah lebih tinggi daripada kiraan de facto iaitu kira-kira dua peratus bagi Banci 1980 dan kira-kira lima peratus bagi Banci 1991.
Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 sama seperti yang telah dilaksanakan pada tahun 2000 akan menggunakan pendekatan de jure. Kerja-kerja pembancian akan dijalankan mulai 6 Julai hingga 22 Ogos 2010 terhadap semua jenis tempat kediaman dan penduduk (termasuk bukan warganegara) yang tinggal/akan tinggal di tempat kediaman mereka bagi tempoh enam bulan atau lebih dalam tahun 2010 pada Hari Banci.


5.KAEDAH PEMBANCIAN
Dalam pelaksanaan Banci 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia buat pertama kalinya memperkenalkan kaedah pengumpulan data yang pelbagai iaitu:

i. Temu ramah bersemuka.
~ Pembanci akan melawat ke setiap tempat kediaman untuk menemu ramah penduduk bagi mendapatkan maklumat.

    ii. Pengisian sendiri

    a) Drop-off and pick-up (DOPU)
    Pembanci akan meninggalkan (drop-off) Kit Banci untuk responden mengisi sendiri soal selidik berkenaan. Pembanci akan kembali pada tarikh dan masa yang dipersetujui dalam tempoh tiga hari selepas drop-off untuk mengambil semula (pick-up) soal selidik yang telah lengkap diisi.

    b) e-Census
    Responden boleh mengisi soal selidik secara online melalui laman web Jabatan http://www.statistics.gov.my. Responden perlu mendapatkan Butir-butir Pengenalan (ID) daripada pembanci yang akan melawat tempat kediaman untuk membekalkan Kit Banci. Responden perlu menggunakan ID yang dibekalkan untuk mengakses ke sistem e-Census.
    Untuk tujuan kawalan, pengisian sendiri soal selidik ini hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja iaitu kawasan bandar besar atau kawasan yang sukar diakses.

    6.LIPUTAN
    Kerja pembancian akan meliputi semua kawasan di seluruh Malaysia. Semua orang (termasuk Warganegara dan Bukan Warganegara Malaysia) yang telah atau akan tinggal di tempat tinggal biasa di Malaysia pada 6 Julai 2010, iaitu selama enam bulan atau lebih dalam tahun 2010 akan diliputi.
    7.MAKLUMAT YANG DIKUMPULKAN
    Banci 2010 meliputi tiga kategori yang utama iaitu penduduk, isi rumah dan tempat kediaman. Pecahan bagi kategori adalah seperti berikut:

    i.

    Penduduk
    • Ciri-ciri Geografi
    • Ciri-ciri Demografi dan Sosial
    • Kesuburan dan Kematian
    • Ciri-ciri Migrasi
    • Ciri-ciri Pendidikan
    • Ciri-ciri Ekonomi

    ii.

    Isi rumah
    • Ciri-ciri isi rumah

    iii.

    Tempat Kediaman
    • Jenis tempat kediaman
    • Bilangan tingkat
    • Jumlah keseluruhan tingkat bangunan
    • Bahan binaan dinding luar
    • Taraf didiami
    • Bilangan bilik
    • Status pemilikan
    • Kemudahan bekalan air minuman
    • Kemudahan bekalan elektrik
    • Kemudahan tandas
    • Kemudahan kutipan sampah
    http://statistics.gov.my/mycensus2010/index.php?option=com_content&view=article&id=52&Itemid=60&lang=bm#1



    Friday, 26 September 2014

    Unit GIS Seksyen Rangka dan Pemetaan

    Tugas aku di JP Penang di Seksyen Rangka dan Pemetaan (Unit GIS)
    Unit GIS amat mencabar kerana aku bukan ada pengalaman dalam teknologi ni. SPM je..
    semua benda baru. kena belajar satu persatu.
    Buku dan manual yg dibekalkan hanya sebagai panduan.

              
    Bermula dengan perisian ArcGis 9.2 kemudian upgrade ke ArcGis 9.3
    tidak lama kemudian ArcGis 9.3.1
    Belum sempat nak faham tentang penggunaannya disebabkan kekurangan latihan,
    kena upgrade pulak ke perisian ArcGis 10.1
    Begitu cepat teknologi GIS nie berkembang sepantas itu jgk maklumat sampai.


    Maklumat Korporat Jabatan Perangkaan Malaysia

    Latar Belakang
    Jabatan Perangkaan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1949 di bawah peruntukan Ordinan Statistik 1949 dan dikenali sebagai Biro Statistik. Perangkaan yang dihasilkan pada masa itu terhad hanya kepada data perdagangan luar negeri dan pertanian ladang.
    Pada tahun 1965, Biro Statistik telah bertukar nama kepada Jabatan Perangkaan Malaysia dan beroperasi di bawah peruntukan Akta Perangkaan 1965. Fungsi dan peranan Jabatan seterusnya telah berkembang di mana data/maklumat yang dikumpul semakin meluas merangkumi bidang ekonomi dan juga sosial.
    Jabatan Perangkaan Malaysia merupakan agensi utama kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diamanah dan dipertanggungjawab untuk memungut, mentafsir serta menyebar perangkaan yang bertepatan masa dan terkini untuk memantau prestasi ekonomi dan juga pembangunan sosial negara.
    Jabatan Perangkaan Malaysia yang beribu pejabat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya juga mempunyai pejabat di setiap negeri. Bagi memantapkan lagi kerja-kerja pengumpulan data oleh Jabatan Perangkaan Negeri, Pejabat-pejabat Operasi di beberapa buah negeri telah diwujudkan.
    Peranan
    Sebagai agensi utama dalam bidang perangkaan ke arah sistem maklumat yang bermutu, berorientasikan pengguna dan bertepatan masa, untuk pembentukan dasar perancangan pembangunan dan pentadbiran negara.
    Fungsi Jabatan
    Di bawah "Statistics Act 1965 (Revised - 1989)", fungsi utama Jabatan Perangkaan Malaysia ialah :
    • mengumpul dan mentafsirkan perangkaan bagi tujuan pembentukan atau pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam apa juga bidang yang diperlukan oleh kerajaan atau bagi memenuhi keperluan-keperluan perdagangan, perniagaan, perindustrian, pertanian atau lain-lain
    • menyebar perangkaan yang telah dikumpul atau tafsiran yang dibuat atas perangkaan yang dikumpul itu, bukan sahaja kepada agensi-agensi kerajaan, tetapi juga kepada pihak-pihak berkuasa atau orang-orang yang mana maklumat itu berguna untuk mereka

    Visi
    Menjadi Sebuah Organisasi Statistik Yang Terbilang Di Dunia Menjelang 2020.
    Misi
    Penjana Statistik Negara yang Berintegriti dan Reliable
    Objektif
    • Mengukuh dan meningkatkan perkhidmatan statistik serta sistem penyampaian;
    • Memenuhi keperluan pengguna dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar;
    • Meningkatkan keupayaan penyelidikan dan analisis data;
    • Menggunakan metodologi statistik dan teknologi yang terbaik secara maksimum;
    • Memupuk budaya inovasi dalam penghasilan dan penyampaian produk dan perkhidmatan perangkaan;
    • Mempunyai sumber manusia yang kompeten dengan tahap profesionalisme yang tinggi; dan
    • Memperluaskan penggunaan statistik di kalangan pengguna.
    Nilai Teras
    Dalam merealisasikan visi, misi dan objektif JP, semua anggota JP perlu menghayati dan mengamalkan nilai-nilai teras seperti berikut:
    (i)  Kepuasan Pelanggan
    Memberikan layanan yang mesra dan profesional kepada pengguna perangkaan. Sentiasa peka dan prihatin kepada keperluan pelanggan dalam persekitaran yang dinamik.
    (ii) Profesionalisme
    Mengamalkan profesionalisme dalam melaksanakan tugas dengan mempunyai komitmen yang tinggi, bertanggungjawab dan gigih, memiliki ciri-ciri bijaksana, kreatif, inovatif, berdaya saing dan proaktif serta bertindak berdasarkan amalan statistik terbaik.
    (iii) Kompeten
    Mengutamakan kompetensi dengan sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk mencapaikualiti kerja terbaik, mempelajari pelbagai kemahiran bagi membuat pelbagai tugas, peka terhadap perubahan semasa, berdisiplin, kerohanian dan berdedikasi terhadap kerja serta pembelajaran berterusan.
    (iv) Integriti dan Akauntabiliti
    Melaksanakan tugas dengan penuh amanah, ikhlas dan jujur mengikut peraturan dan prosedur kerja tanpa kepentingan peribadi, memastikan kerahsiaan maklumat individu responden dan bertanggungjawab terhadap tugas yang dilaksanakan.

    (v) Semangat Berpasukan
    Bertindak ke arah merealisasikan visi, misi dan objektif Jabatan dengan penglibatan semua anggota sebagai satu pasukan.
    (vi) Berhemah dan Berwibawa
    Mempamerkan sifat-sifat terpuji seperti adil dan saksama, bertimbang rasa, mesra, sabar, tegas dan konsisten dalam membuat keputusan, dapat menyesuaikan diri dalam semua situasi, bersedia mendengar pandangan dan teguran, dan sentiasa berketerampilan dan berbudi bahasa.
    Piagam Pelanggan
     Kami komited untuk menyedia dan membekal maklumat perangkaan yang berkualiti, berorientasi pengguna dan bertepatan masa berdasarkan keperluan:
    1.
    Special Data Dissemination Standard (SDDS) .
    2.
    Data yang diterbitkan disediakan dalam tempoh satu hingga dua hari bekerja.
    3.
    Data yang tidak diterbitkan:
    a.Data yang dipetik (extract) dari penjadualan komputer yang tersedia, disediakan dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja.
    b.Data yang memerlukan pengiraan, penyusunan dan prosesan tambahan disediakan dalam tempoh dua hingga 10 hari bekerja.
    4.
    Pengguna di kaunter akan dilayan dalam tempoh 10 minit daripada masa ketibaan.
    5.
    Aduan yang diterima melalui surat/ e-mel/ faks/ telefon akan diambil tindakan dalam masa tujuh hari bekerja.
    Dasar Kualiti
    Jabatan Perangkaan Malaysia komited untuk membekalkan maklumat dan perkhidmatan statistik yang berorientasikan pengguna, bertepatan masa dan berkualiti. Ia dicapai melalui penggunaan teknik statistik dan teknologi yang terkini dan sesuai serta melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran anggota Jabatan di pelbagai peringkat secara berterusan.

    Penerangan Logo Jabatan Perangkaan Malaysia
    Secara keseluruhan, logo ini membawa maksud hala tuju Jabatan untuk menjadi sebuah organisasi statistik yang terbilang di dunia.
    • Bulatan - menggambarkan kesepakatan anggota Jabatan dalam mencapai visi dan misi.
    • Garisan grid putih - menunjukkan jaringan hubungan kerjasama yang global.
    • Anak panah – menunjukkan perkembangan pesat Jabatan sejak penubuhannya. Ia turut menggambarkan peranan Jabatan serta kualiti data yang semakin meningkat seiring dengan kehendak pengguna.
    • Warna merah - menggambarkan ketegasan Jabatan dalam menjaga kerahsiaan maklumat responden.
    • Warna jingga (oren) - Energetic, bersemangat dalam menjalankan tugas. Berani menyahut cabaran untuk setanding dengan Agensi Perangkaan lain di dunia.




    Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) dan Kemudahan Asas 2014


    Penyiasatan ini bermula Januari 2014 hingga Disember 2014 meliputi isi rumah yang tinggal di tempat kediaman (TK) persendirian yang melibatkan 83,456 isi rumah di seluruh negara.

    Objektif
       Objektif utama penyiasatan ini adalah untuk mengumpul maklumat pola taburan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah,mengenal pasti golongan miskin dan mengenal pasti tahap kemudahan asas yang dinikmati oleh isi rumah di Malaysia.
    Data pendapatan ini akan digunakan oleh Kerajaan sebagai input dalam pembentukan pelan pembangunan negara terutamanya bagi penyediaan Rancangan Malaysia ke-11. Manakala data perbelanjaan digunakan dalam pengiraan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merupakan proksi kepada pengukuran kadar inflasi Negara.
       Seiring dengan matlamat dan tujuan, data HIES ini amat penting kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam perancangan, pembangunan dan penggubalan dasar dan polisi Negara terutama dalam program pembasmian kemiskinan dan agihan pendapatan yang lebih menyeluruh.  Selain daripada itu, data HIES merupakan item asas dalam pembentukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan penentuan golongan miskin dan miskin tegar, seterusnya digunakan sebagai input kepada analisis taburan pendapatan dan perbelanjaan berkaitan dengan aktiviti ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.

    Kaedah Pengumpulan Data
       Pengumpulan data yang dijalankan adalah dengan menggunakan kaedah temu ramah bersemuka.  Pegawai dan anggota Jabatan yang terlibat dalam penyiasatan ini diberikan latihan khusus sebagai penemu ramah. Mereka akan melawat isi rumah (IR) di TK terpilih bagi mengumpul maklumat berkaitan demografi, pendapatan, perbelanjaan dan kemudahan asas dengan menggunakan borang soal selidik berkenaan.

    Terdapat 3 jenis borang soal selidik yang digunakan iaitu;
    1.   Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014 (HIES)
    2.   Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014 (HIS/KA)
    3.   Rekod Perbelanjaan Harian Isi Rumah (HES-2)

    Pelaksanaan Operasi Pungutan Data
       Untuk tempoh satu bulan, anggota isi rumah yang berusia 15 tahun dan ke atas dikehendaki merekodkan perbelanjaan harian dan biasa mereka dalam diari yang direka khas (HES-2).  Dalam tempoh satu bulan tersebut, pegawai-pegawai kerja luar akan melawat isi rumah terpilih untuk membantu dalam merekodkan perbelanjaan mereka.
       Penyiasatan ini meliputi isi rumah yang tinggal di tempat kediaman persendirian sahaja.  Isi rumah institusi iaitu individu yang tinggal di asrama, hotel, hospital, rumah orang tua, berek tentera dan polis, penjara, rumah kebajikan dan institusi lain adalah dikecualikan daripada liputan penyiasatan.
                             

    Kerjasama Sepenuhnya Diharapkan
       Sehingga Mei 2014, kerjasama rakyat terhadap penyiasatan ini amatlah baik dengan penerimaan maklum balas adalah sebanyak 98.9% iaitu 34,673 daripada 35,076 isi rumah terpilih.  Jabatan Perangkaan Malaysia berharap isi rumah yang terpilih dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai-pegawai jabatan yang berkunjung ke TK responden yang terpilih.
       Maklumat yang dikumpul mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).
    Seksyen 5 dibawah Akta ini menghendaki mana-mana responden di Malaysia untuk memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada Jabatan.  Mengikut Akta ini, kandungan soal selidik yang diterima adalah SULIT dan tidak boleh dihebahkan kepada sesiapa atau mana-mana institusi di luar Jabatan ini.

    Berita Harian,12 Oktober 2014